Tuesday, August 3, 2010 By: Nurul Atiqah binti Rayah

Bila Saya Sudah Letih...

Salam 'alaik..

Saya sibuk. Ayat ini biasa sangat saya gunakan. Tapi kali ini memang saya tak dapat menggunakan perkataan lain selain "Saya sibuk". Saya rasa saya telah menggunakan 120% tenaga dan kemampuan yang saya ada kali ini. Semalam, saya rasa sangat-sangat letih dan tak berdaya. Sehingga saya terpaksa meminta bantuan dari Kak Nini (bukan nama sebenar) untuk menghantar saya ke kelas dengan kereta beliau walaupun ketika itu waktu kelas kami berbeza.

Saya tak dapat nafikan lagi bahawa saya sangat-sangat letih. Dari Ruqayyah ke AIKOL tidaklah terlalu jauh bagi sesiapa yang berkenderaan. Tetapi  bagi pejalan kaki seperti saya, ia mengambil masa lebih 20 minit juga untuk sampai. Bayangkan kelas saya setiap Selasa dari pukul 8.30 pagi dan berakhir sehingga 7.15 petang, dan kemudiannya bergegas jalan kaki pulang ke mahallah untuk bersiap-siap ke salah satu acara AIKOL Festival'10 (Musical & Art Fiesta) pada jam 8.00 malam.

Selama ini saya bisikkan dalam hati, bahawa saya harus sabar. Ini dugaan untuk saya. Allah telah janjikan hadiah yang istimewa untuk hamba-hambaNya yang sabar. Setiap kali pulang berjalan kaki, hati saya sentiasa berdetik, "Alangkah bagusnya kalau saya pun ada kereta..."

Sejenak kemudian saya cepat-cepat menepis perasaan itu. Saya harus bersyukur, ada ramai lagi orang yang lebih malang dari saya di dunia ini. Saya mengambil kekurangan ini dari sudut yang positif. Saya akan bertambah sihat dengan berjalan kaki. Buktinya, setelah bermain futsal pada AIKOL Family Day & Sports Carnival tempoh hari, saya tidak mengalami sakit-sakit badan berbeza dengan sahabat-sahabat sepasukan saya yang lain. Bila mereka merungut kaki mereka sakit-sakit, saya hanya bersyukur dalam hati. Ini adalah hikmah dari Allah.

Saya penat. Bukan saya mahu merungut, tetapi hanya mahu berkongsi. Bohonglah jika saya katakan saya tidak pernah rasa penat. Sangat penat lagi bila kadang-kadang ada sahabat yang tidak memahami. Kadang kala, saya terfikir juga, adakah saya yang terlalu sensitif. Ada satu ketika, saya tak dapat menahan kesedihan di depan sahabat-sahabat lantas mencurah air mata. Saya penat, dan saya letih. Jangan tambah tekanan untuk saya.

Saya tidak dapat menerima jika seseorang mengarahkan saya melakukan itu dan ini, tapi dengan cara dan kata-kata yang tidak beradab. Tidak ada rasa hormat. Biasanya, saya malas nak membalas SMS atau jika saya rasa geram, saya akan membalas dengan cara yang sama juga. Itu untuk sesiapa yang tidak mengenal erti hormat.

Saya bukanlah malaikat. Yang tidak pernah dan tidak pandai berasa marah. Saya hanya manusia yang diciptakan dengan perasaan. Saya tidak tahu kenapa saya selalu sangat akan terasa dengan sesetengah manusia ini. Adakah saya ini selalu berburuk sangka dengan mereka? Atau pun saya sudah melabel mereka di dalam hati saya bahawa "Saya Tak Suka Dia".

Setiap kali berjumpa pun, saya tidak ada perasaan lagi untuk menegur dengan manusia yang tak tau erti hormat ini. Bila saya fikir sedalam-dalamnya, saya sudah penat dengan manusia ini. Saya malas mahu memikirkan tentang ini. Biarlah Allah yang menguruskannya. Saya berserah. Saya cuma takut, bila sampai satu saat, saya tidak dapat bersabar lagi.

Bila saya sudah sangat penat, apa yang saya buat pun saya tak tahu. Semalam, saya naik ke SRC office untuk bincang hal program yang akan dilaksanakan minggu ini. Saya tak tahu kenapa semalam saya selamba sangat. Saya memang seorang yang banyak mulut, tapi hanya dengan orang yang rapat dan kenal saya. Tapi semalam entah macam mana saya boleh menegur seorang adik muslimin ni. Walhal sebelum ini saya tak pernah bertegur sapa dengan beliau.

Sebelum tidur, saya asyik mengutuk diri sendiri lantaran 'kecepatan' tindakan saya itu. "Atiqah, apesal la kau ni tak cerdik sangat pegi buat macam tu?" Ish.. Saya menyesal, sungguh. Dan untuk Encik M yang terkedu kerana saya sangat 'ramah' semalam kerana mengusik beliau. Suruh belanja la, pergi bising-bising dalam office tu macam office tu saya punya je. Kalau Encik M baca blog saya ini, saya ingin meminta maaf kerana semalam saya telah bertindak seperti bukan saya. Tindakan saya mendahului aqal saya semalam. Maafkan saya..

Saya sudah penat. Oleh itu, saya berhenti di sini. Hanya bila saya mencari sedikit ruang untuk berkongsi kepenatan maka laju tangan ini menaip. Silalah mengkritik saya. Saya bukan manusia sempurna. Sekian.

1 Percakapan:

rabiatul adawiyah said...

Rabbuna Yusahhil...INSYAALLAH

Post a Comment