Sunday, December 13, 2009 0 Percakapan By: Nurul Atiqah binti Rayah

Perkongsian: Bang, saya dah berhenti couple, tapi…

cinta kita, atas apa kita membinanya?

cinta kita, atas apa kita membinanya?

Ada orang yang dah berhenti bercouple. Saya, secara peribadi mengucapkan tahniah. Bukan mudah hendak mengikut arahan Allah SWT dengan mengenepikan kehendak nafsu diri. Saya, amat respect dengan orang yang berjaya ini.

Saya ketahui, masa-masa indah semasa bercouple pastinya membaluti hari-hari selepas meninggalkannya. Dulu bergayut-gayut dekat telefon, sekarang dah tak. Dulu keluar makan tengok wayang sesama, sekarang dah tak. Dulu sms-sms, sekarang dah tak. Jadi, mesti rasa ada kekurangan.

Artikel ini, saya tulis khas untuk anda yang telah berjaya meninggalkan couple, tetapi terbalut dengan 1001 perasaan yang mungkin membuatkan anda ingin kembali kepada perbuatan itu.

Bukan mengharamkan cinta

Persoalan-persoalan yang mencucuk mereka yang meninggalkan couple, mereka akan mengingat bahawa mereka ini mengharamkan cinta mereka. Ya, cinta mereka suci, ikhlas.

Di sini, ketahuilah bahawa, kita tidak mengharamkan cinta. Tidak salah menyukai lelaki atau perempuan. Cuma di sini, kita mahu jalan yang Allah redha. Bukannya kita break up. Kalau suka, betul-betul cinta, teruskan. Cuma teruskan di atas jalan yang Allah redha.

Sebenarnya, kalau betul-betul suka, cakap suka. Pergi confess pada mak ayahnya. Yang perempuan, minta lelakinya bergerak cepat sikit, bagitahu mak ayah. Tunang dulu ke kalau rasa lambat lagi nak kahwin. Tunjukkan keseriusan anda.

Selepas tu, nak dating, sila la dating dengan keluarga. Bukan tak boleh. Keluarga lelaki, keluarga perempuan, pergi keluar makan sama-sama. Kalau rindu, pergi ziarah rumah. Cakap kat keluarga perempuan, kata nak datang. Yang perempuan, kalau rindu sangat, cucuk-cucuk la mak ayah suruh ziarah.

Tak ada masalah. Cinta bukan diharamkan. Teruskan. Sila teruskan. Cuma sekarang ni, kita nak cinta kita diredhai Allah. Kalau nak Allah redha, takkan kita nak calarkan cinta kita dengan perkara yang Allah murka? Islam ada bagi cara, kita guna cara yang Islam bagi.

Rindu sangat

Ini satu lagi fenomena biasa terjadi. Ya la, dulu hari-hari jumpa, ada event apa-apa mesti bersama. Mesti la ada memori-memori indah.

Rindu ni lumrah orang berjauhan la. Lagi rindu, lagi bertambah sayang. Tahan sikit je kalau serius nak kahwin. Dan macam saya cakap tadi, bukan tak boleh jumpa langsung. Ajak la keluarga ziarah ke, ajak keluarga keluar makan ke, atur la elok-elok. Bukan haram jumpa langsung.

“Rindu sangat ni, rindu sangat sampai nak jumpa dua-dua”

Aha… Best perasaan ni. Apa kata, kita tahan rindu kita dua tiga tahun, kemudian duduk la dua-dua sampai mati. Ah.. bukan sampai mati, maaf, sampai ke syurga, selama-lamanya. Ya la, bila kita bangunkan cinta kita atas apa yang Allah redha, pastinya kita akan mendorong diri kita dan pasangan kita ke syurga-Nya.

Susah-susah sangat, kahwin. Buat apa la tunggu lama-lama, main rindu-rindu jauh ni.

Kalau ada kekangan untuk berkahwin, sabar. Cuba selesaikan apa yang mengekang anda dari berkahwin itu. Sementara itu aturlah cara yang syara’ untuk berjumpa.

Tak ada masalah.

Ingat Allah

Ada orang, dia meluat kalau kita pesan kat dia supaya dia ingat Allah SWT.

Tapi saya nak kata apa? Kalau kita tinggalkan couple kerana Allah, nak dapat redha Allah, maka bila kita rasa nak kembali kepada couple, kita kena ingat Allah SWT yang menjadi matlamat kita meninggalkan couple tadi.

Allah ni, tak ada la zalim. Kita ni je yang zalim diri kita. Allah, Dia nak bagi kita sama-sama dengan pasangan kita sampai ke syurga, selama-lamanya bersama. Tapi, kita tak sabar, kita zalim pada diri kita, lantas kita dengan pasangan kita,paling lama pun sampai mati, kemudian di akhirat, terpisah-pisah. Apa best?

Allah halang kita dari dekati zina, bukan suka-suka. Kita dah nampak hari ini, lambakan anak luar nikah. Kita nak ke macam itu?

“Kami couple je bang, mana ada apa-apa”

Ya. Hari ini. Semalam. Esok siapa tahu? Kalau melintas jalan pun kena tengok kiri kanan takut dilanggar, berhati-hati, lagi la dalam hal masa hadapan dan kekeluargaan. Kena perhatikan semua benda. Tak kesian ke dengan baby? Ni bercinta betul ke, main-main?

Kena serius la

Nak istiqomah tinggal couple ni, selain melihat kembali niat kita, kita kena serius la tinggal tu. Nak serius tinggal, kita kena ada beberapa perkara lagi kita kena serius:

1. Serius nak dapat redha Allah.

2. Serius nak bercinta dengan betul.

3. Serius nak bina masa hadapan dengan baik.

4. Serius jaga maruah dan harga diri.

5. Serius segala perkara.

Saya rasa, kalau kita mendalami 1-5 ni, kita akan istiqomah untuk tidak bercouple, dan meninggalkan couple. Kalau serius la. Kalau tak serius, memang la kita nak buat.

Ya la, kalau serius nak dapat redha Allah, kenapa buat benda yang Allah tak suka?

Kalau serius nak cinta betul-betul, kenapa memurahkan cinta kita?

Kalau serius nak membina masa hadapan dengan baik, kenapa tak boleh berdisiplin dan bertahan sedikit?

Kalau serius nak menjaga maruah dan harga diri, kenapa kita pula macam promosi diri kita agar maruah dan harga diri kita tercalar?

Kalau lah kita ini serius dalam semua perkara, kita betul-betul nak hidup dengan baik, kenapa kita dedahkan diri kita dari kehancuran?

Jangan tunggu kita dah tersilap, baru kita nak cakap: “Aiseh, dulu ada dah orang tegur aku, kenapa aku tak dengar?”

Yang dah tinggal couple tu, tak payah kembali la. Fikir-fikir balik, anda sudah berjaya, kenapa anda hendak menggagalkan diri anda semula?

Kalau betul kita serius, kita akan usaha. Tak ada bagi alasan-alasan. Sebab itu, yang saya cakap dalam Bukan Mengharamkan Cinta, Rindu Sangat, dan Ingat Allah itu, hanya yang betul-betul serius sahaja yang boleh buat. Yang main-main, bye-bye la.

Penutup: Teruskan kejayaan anda

Bagi yang tak bercouple, atau dah tinggal couple, teruskan kejayaan anda. Bagi yang masih bercouple, tak mengapa, perlahan-lahan usaha tinggal. Jangan risau. Saya tidak menyisihkan anda. Cuma saya mengingatkan sahaja. Kita ni manusia, mana tahu apa nak jadi pada kita. Sebab itu orang pandai kata: Mencegah lebih baik dari mengubati. Cegah, penyakit tu tak kena pada kita. Mengubati, penyakit tu dah kena pada kita. Ada bezanya ya.

Fikir-fikir la. Couple ni asasnya apa? Cinta? Ya ke cinta? Ke lebih kepada seronok-seronok nak happy-happykan diri sendiri sahaja?

Bukan la tak couple maksudnya tak cinta. Cinta anda, tidak gagal dengan tidak bercouple.

Jangan susah hati. Kata nak redha Allah. Tahu tak bahawa, cinta tu, Allah yang cipta?

Aha…

Teruskan kejayaan anda. Kejar redha Allah dalam semua lapangan. Belajar, kerja, hatta cinta.

Kita nak, cinta kita ini pun Allah kira.

*Pedoman bersama dari laman blog:
Hilal Asyraf
http://ms.langitilahi.com
Saturday, December 12, 2009 0 Percakapan By: Nurul Atiqah binti Rayah

Sekeping Hati Insani

Pejam celik pejam celik, akhirnya dah hampir 3 bulan aku tak mengemas blog aku ni. Bukan tak nak mengemas, bukan malas [ecece] tapi kesibukan dan komitmen kepada kerja-kerja yang lebih utama menyebabkan niat untuk mengemaskini blog yang baru bertapak ni terkubur begitu sahaja.

Semester kali ini pastinya menjanjikan cabaran buatku. Melihat kepada subjek-subjek yang berjaya aku daftarkan, agak kecut perut juga. Tekadku kali ini, ingin aku melakukan yang terbaik untuk semua insan yang aku sayang. Dari apa yang aku dapat tahu, agak ramai juga sahabat-sahabat lelaki yang berjaya meraih anugerah dekan semester lepas. Terdetik perasaan kagum pada mereka kerana yang berjaya itu adalah mereka yang bagiku adalah cukup selamba, tak pernah menonjol di dalam kelas. Malah, pernah ditegur oleh lecturer kerana berpakaian selekeh pun ada.

Betullah kita ini tak layak menghakimi manusia hanya kerana dia kelihatan buruk di mata kita, walhal hati kita lebih busuk kerana berprasangka. Hanya Allah Yang Maha Tahu apa yang ada di dalam hati kita walaupun sebesar zarah. Astaghfirullah.. Kadangkala diri ini tidak sedar akan keterlanjuran lintasan hati. Semoga Allah mengurniakan sekeping hati yang suci dan bersih untuk kita semua. Insya Allah.

Bercakap mengenai hati, ianya bukanlah satu hal yang dapat dizahirkan, hingga wujud satu pepatah Melayu, “rambut sama hitam, hati lain-lain”. Begitulah rumitnya deskripsi hati ini. Perbuatan baik seseorang kadangkala tidak sama dengan apa yang ada dalam hatinya. Bukanlah aku prejudis terhadap mereka yang berbuat baik, tetapi hanya memberi satu contoh mudah tentang hati.

Mungkin aku tidak layak berbicara soal hati kerana aku bukanlah seorang yang pakar tentang hati dan perasaan ini. Tetapi, dari pandangan peribadiku sendiri, tidaklah wajar untuk seseorang itu meletakkan penghakiman melalui apa yang dilihat dari lahiriah. Pandangan mata itu seringkali menipu. Itu yang aku belajar selama ini. Kata-kata manusia yang lahir dari hati itu juga kadangkala menipu. Namun, apa yang pasti ikhlasnya perbuatan seseorang itu adalah rahsia Allah.

Hanya Allah Yang Maha Tahu sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak. Seseorang itu tidak boleh mengatakan yang dia ikhlas membuat itu dan ini, kerana ikhlasnya sesuatu perbuatan hanya boleh dinilai oleh Allah SWT. Oleh sebab itu, Nabi S.A.W. sentiasa berdoa dalam setiap solat baginda supaya dikurniakan sekeping hati yang suci dan bersih. Suci dari setiap hasad dengki dan dendam. Itu doa baginda Rasulullah S.A.W., apatah lagi kita sebagai umat baginda yang tidak pernah pasti di mana tempat akhir kita nanti; syurga atau neraka?

Ingatan untuk diri yang jahil ini juga untuk sesiapa yang membaca, hati kita perlu diperiksa dan diservis. Bersihkah hati kita selama ini? Pernahkah kita meminta agar Allah menyucikan hati kita? Atau kita seringkali berasa tidak puas hati terhadap kesenangan orang lain, hatta sahabat kita sendiri pun kita sanggup mengata-ngata. Nauzubillah. Tepuk dada, tanya iman. Wallahua’lam.
Sunday, September 20, 2009 1 Percakapan By: Nurul Atiqah binti Rayah

Segala Pujian Aku Panjatkan...

Assalamualaikum Warahmatullah..

Segala pujian selayaknya hanya untuk Allah, Tuhan sekalian alam, Yang Mencipta dan Memiliki segala yang di langit dan di bumi. Alhamdulillah, akhirnya tercipta jua blog yang sekian lama aku rencanakan di fikiran. Membaca memang menjadi satu kemestian bagiku, namun untuk menulis ia memerlukan waktu dan input yang sesuai untuk dikongsikan bersama. Justeru itulah, kerana kesibukan dan kesuntukan waktu bergelumang dengan nota-nota kuliyah dan juga kertas kerja program, niat untuk mencipta blogku sendiri aku ketepikan dahulu. Insya Allah, sampai waktunya, aku akan menulis. Dan kini Alhamdulilah, pada 1 Syawal 1430H ini aku tergerak hati untuk menulis buat pertama kalinya di blog aku sendiri, The Bitter, The Sweeter.

Mengapa The Bitter, The Sweeter? Kupilih ianya sebagai nama blogku ini adalah kerana menyedari hakikat di sebalik dugaan yang Allah turunkan kepada hamba-hambaNya. Bagiku, setiap dugaan yang Allah turunkan, ianya terselit seribu rahmat dan kasih sayang terhadap hamba-hambaNya yang sabar. Semakin pahit ujian yang Allah beri, semakin manis hadiah dan hikmah yang Allah simpan untuk hambaNya. Di dalam Al-Quran, berulang kali disebut "..Sesungguhnya Allah bersama dengan orang-orang yang sabar." Bagiku, ayat ini cukup untuk memujuk hati yang kadangkala gundah tatkala ujian datang menimpa. Kadangkala, hidup sebagai manusia memungkinkan diri ini terlupa dengan janji Allah yang pasti.

Buat sahabat-sahabat, para pengunjung blog ini, ahlan wa sahlan, selamat datang, welcome aku ucapkan buat kalian semua. Aku mengharapkan kalian positifkan minda dengan setiap entri yang bakal dikirim. Insya Allah, blog ini akan aku jadikan medan pelbagai. Mungkin medan untuk aku berceloteh, mungkin juga ia akan menjadi tempat untuk aku memuhasahabahkan diri ini dan kalian juga, mungkin juga tempat untuk kita semua berdiskusi. Kritikan membina, teguran serta cadangan sangat-sangat dialukan bagi meningkatkan lagi kematangan dan memperbaiki kelemahan diri ini. Insya Allah..

Nantikan entri seterusnya..;)

Salam mahabbah,
Nurul Atiqah binti Rayah
Desa Bukit Merah,
Paka, Terengganu.