Saturday, August 6, 2011 By: Nurul Atiqah binti Rayah

Ramadhan Dan Saya

Assalamualaikum..


Alhamdulillah, untuk tahun ini dapat berpuasa sepenuhnya (mungkin?) dengan family di rumah. Walaupun agak kebosanan kat umah ni sebab adik-adik hampir semuanya berada di hostel, dan abang dan kakak ipar pulak belum balik umah lagi (sebab tak dapat cuti), tapi bila ada Mujahid kat umah ni kira dapatla jugak mengubat kebosanan dengan mulutnya yang becok itu. :)


Rutin harian bila duk kat umah ni, biasalah kan, pegi hantar dan ambik adik-adik (2 orang adik je pun) dari sekolah, kemas rumah, basuh dan sidai kain dan petangnya memasak, kalau rajin pulak saya bawak adik-adik pegi bazar Ramadhan.


Tadi waktu online facebook, ade seorang sahabat share 1 video ni. Tentang bagaimana Wardina Safiyyah didik anak-anaknya berpuasa. Secara peribadi, saya kagum dengan Wardina. Bagi saya beliau merupakan seorang ibu yang hebat. Walaupun berkerjaya, beliau amat mengambil berat soal didikan anak-anak, terutamanya didikan agama.



Zaman sekarang, bukan zaman yang mudah untuk mendidik anak-anak sama ada anak lelaki atau perempuan. Zaman sekarang, teknologi sangat meluas diguna dan disebarkan. Kalau sekalipun cara didikan di rumah betul, sahabat yang dipilih oleh anak-anak pula yang mengabil peranan dalam mempengaruhi mereka, tambah pula dengan persekitaran.


Andai ilmu agama yang diterapkan dalam peribadi anak-anak, maka terselamatlah mereka dari jurang tipu daya. Seperti kata Wardina, "Anak-anak haruslah difahamkan kenapa mereka perlu puasa, kenapa mereka perlu solat, kenapa perlu menutup aurat. Bukan hanya bila kita ikut-ikut apa yang orang lain buat, bila kita tengok orang buat, kita pun nak buat.."


Saya sangat-sangat setuju dengan kata-kata beliau. Bagi saya, bila kita melakukan sesuatu tuntutan dan dalam masa yang sama kita faham sebab difardhukan tuntutan itu, kita akan lebih menghayati ibadah tersebut. Contohnya, kenapa kita kena solat?


Ingat peristiwa sewaktu Nabi Muhammad s.a.w. diangkat ke langit sewaktu Israk dan Mikraj? Selepas peristiwa itulah umat Islam diwajibkan oleh Allah s.w.t. menunaikan solat 5 kali sehari semalam. Dalam rukun Islam, solat merupakan perkara kedua selepas mengucap dua kalimah syahadah. Pernah tak dengar maksud hadith, "Solat itu tiang agama. Barangsiapa yang tidak solat, maka dia telah meruntuhkan agamanya."


Nampak tak kepentingan solat kat sini? Bahkan, dalam satu hadith Rasulullah s.a.w. pula mengatakan, perkara pertama yang akan dihisab oleh Allah di Padang Mashyar nanti adalah solat. Jika elok solatnya, maka selamatlah dia. [Riwayat At-Tarmizi]
Dalam Surah Az-Zariyat ayat 56 pula Allah telah bersabda, "Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadat (menyembah) kepada-Ku."
Solat itu adalah cara kita sebagai Muslim menyembah Allah. :)


Pertama sekali, sangatlah wajib kita (kita?) sebagai ibu bapa perap terapkan pada anak-anak tentang ketauhidan kepada Allah. Contohnya, "Allah tahu dan Allah tengok apa yang kamu buat. Walaupun ibu atau ayah tak nampak, tapi Allah sentiasa tengok apa yang kamu buat."
Anak mungkin akan tanya pulak, "Allah tu kat mana? Kenapa adik tak nampak pun Allah?"


Haa, apa yang ibu dan ayah nak jawab? Ke nak telan air liur je? Hehe. Sebab tulah, ibu dan ayah jugak wajib belajar ilmu agama, ilmu fardhu ain supaya dapat didik anak-anak dan dalam masa yang sama tunjuk contoh teladan yang baik untuk anak-anak. Ni, kalau ibu dan ayah solat pun kadang-kadang, macamana anak-anak nak solat 5 waktu sehari semalam?


Rasanya setakat ini dulu. Kalau nak cakap panjang soal mendidik anak-anak ni rasanya sampai bila-bila pun takkan habis. Banyakkan rujuk pada yang pakar, tanya alim ulama', tanya ibu bapa kita bagaimana caranya mendidik anak-anak supaya di akhir hari mereka pula dapat berbakti untuk kita, mendoakan kita di alam 'sana'.


Wallahua'lam.


p/s: Eleh. Cara cakap macam dah ada anak. Hehe. Sekadar berkongsi pandangan. Insya Allah, semua wanita mahu jadi ibu yang terbaik. Amiin. (^_^)

*Tahniah buat sahabat-sahabat One Heart Creative Solutions sebab berjaya hasilkan video ini. Semoga Allah permudahkan urusan kalian. Barakallahufikum.*

2 Percakapan:

Hilmi said...

rutin harian kita sama..cume x memasak jer..haha

Nurul Atiqah binti Rayah said...

belajo la masok. penting tu. boleh mengelakkan keracunan. :)

Post a Comment