Thursday, February 24, 2011 By: Nurul Atiqah binti Rayah

Warna-warna Hidup

Bismillah walhamdulillah..



Setelah berminggu-minggu blog ini terpaksa saya sepikan, akhirnya dapat jugak taip satu entry dengan izin-Nya. Banyak perkara yang berlaku selama saya terpaksa menepikan hasrat untuk mengemaskini blog ni. Perkara pertama, sejak balik dari cuti pertengahan semester yang lalu, berderet-deret 'mid term exam' menanti. Ditambah pulak dengan assignment yang menuntut untuk dijengah. Alhamdulillah, semalam selesai 1st test untuk subjek elektif dan juga assignment selesai dihantar. Minggu seterusnya menanti pulak 2 lagi test. Insya Allah akan saya cuba jalani dengan sebaik mungkin.

Perkara kedua pula, selesailah sudah Pilihan Raya Kampus untuk UIAM apabila keputusan telah diumumkan secara rasmi. Alhamdulillah, Pro-Mahasiswa menang besar kali ini walaupun peratus pelajar yang keluar mengundi agak mengecewakan. Tahniah dan takziah buat semua calon yang berjaya terutama kepada sahabat AIKOL, Hafizul Faris & Fitry Hussain. Moga-moga amanah ini berjaya dipikul oleh kalian. Sesungguhnya amanah itu berat, dan lepas ni tentunya pelbagai halangan yang kalian akan hadapi. Itu adalah lumrah. :)


Cerita 1
Sepanjang 2 minggu kebelakangan ni, memang sibuk tak cukup 24 jam. Agaknya kalau dapat tambah 24 jam tu jadi 28 jam ke, pun masih tak cukup kan? Sebab manusia ni memang selalu takkan rasa puas dengan apa yang dia ada. Hm, betullah cakap sorang senior ni, 2nd year boleh lagi nak rileks-rileks, bila dah naik 3rd year jangan harapla. Terkejar ke sana-sini. Soalan tutorial pun kena cari sendiri, takde dah lecturer nak tolong sediakan. Jadual kelas pulak, penuh memanjang, tak campur lagi dengan meeting itu, meeting ini. Balik bilik, lewat malam, badan letih, tak sempat study, terus tido. Ish..ish...

Rasa hidup ni macam takde life kan? Tak boleh langsung nak rehat. Nak tengok cite Korea lagilah macam bermimpi di siang hari. Ngee..~

Ada orang cakap, bila join society, join program, tak cukup masa, tak boleh nak study. Betul ke? Cuba tanya balik diri kita, kita hidup kat dunia ni semata-mata untuk diri kita sendiri je ke? 

Bila direnung kembali, ada banyak ayat Qur'an yang menyuruh kita supaya melakukan kebaikan.  Antaranya:

"Dan berbuatlah kamu akan kebaikan supaya kamu mendapat kemenangan." (Surah al-Hajj:77)

"Manusia yang berbuat baik dengan mengharapkan sesuatu balasan bukanlah manusia yang jujur. Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat, asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh dengan agama Allah. "
(Surah Al-Baqarah:214)


Berbuat kebaikan dalam konteks ayat ini tidaklah tertumpu kepada kita dengan Allah sahaja, boleh jadi jugak kita dengan sesama makhluk. Kita hidup dalam masyarakat, seharusnya kita bergaul dengan masyarakat. Menyenangkan hati orang lain juga dikira berbuat baik. Bila kita rasa hidup kita ni hanya untuk diri sendiri, maka hidup ini ibarat tidak bererti. Jika kita hidup juga untuk insan-insan di sekeliling kita, Insya Allah hidup kita akan rasa lebih indah dan bermakna. Sebagai contoh, kita ada sahabat-sahabat yang dekat dengan kita, kita kongsi suka dan duka bersama-sama. Itukan lebih bermakna daripada duduk berdiam seorang diri?

Pandangan saya secara peribadi, hidup berbakti itu lebih menjanjikan kepuasan dalam hidup. Berasa puas  hati apabila dapat menggembirakan orang, berasa hidup lebih terisi dengan sahabat-sahabat yang setia, dan lebih berasa tenang bila kebaikan yang dilakukan dapat mendekatkan diri kita pada Pencipta. Setiap manusia dilahirkan dengan kebolehan. Hanya kita sendiri yang dapat menzahirkan dan menggunakan kebolehan yang kita ada untuk berbakti kepada orang lain.:)

Cerita 2
2 minggu sudah, minggu berteman air mata. 12 Rabiul Awal bersamaan 15 Februari 2011, seseorang yang saya hormati telah pergi untuk selama-lamanya. Saudara Mohd Ikhwan bin Jamil, saya kenali sewaktu menyertai AKHI Club. Waktu itu, saya di tahun pertama, semester pertama dan beliau merupakan Presiden AKHI Club. Waktu itu saya banyak belajar dan mengambil tauladan daripada beliau. Seorang yang suka tersenyum, sentiasa sabar, dan sangat positif. Adik-adik juga sangat menghormati beliau.

Waktu menerima berita beliau telah kembali, hati ini rasa bagai tak percaya. Alhamdulillah, Allah memberi keizinan untuk menatap wajah beliau buat kali terakhir di Hospital Ampang. Teringat segala kebaikan dan gurauan beliau. Semoga pemergianmu disambut malaikat dan bidadari syurga wahai saudara Ikhwan. Amiin.

Lewat petang Jumaat pula, terima berita pemergian kakak ipar kepada tunangan abang saya. Petang esoknya baru dapat berziarah dek kerana tugasan yang sentiasa tak dapat dielakkan. Arwah Kak Ros pergi meninggalkan suami dan anak-anak tercinta. Saat melihat wajah anak sulung arwah, Izzati namanya, diri ini menahan sebak. Baru berusia 14 tahun, tapi sudah kehilangan ibu. Wajah Izzati ketika itu sembab mungkin kerana banyak menangis. Tiada kata-kata yang mampu saya berikan, hanya sebuah pelukan dan minta Izzati bersabar. Dugaan Allah itu pasti ada hikmahnya. 

Bila membandingkan diri dengan keberadaan insan terdekat, terasanya diri ini jarang bersyukur. Saya punya ayah dan ibu yang sangat memahami dan mendorong saya, punya abang dan adik-adik yang sentiasa bersama, punya nikmat harta yang cukup. Ya Allah, tambahkanlah kesyukuran kami dengan nikmat yang Engkau anugerahkan ini..

Akhir kalam, sekalung Al-Fatihah untuk insan-insan yang telah pergi meninggalkan kita. Doa, hanya itu yang kita mampu lakukan untuk menggembirakan mereka di sana. Bila diri ini sudah beberapa kali mengalami kehilangan, jauh di sudut hati, moga Allah mempermudahkan juga urusan saya saat saya menemui Dia. Saya mohon Allah izinkan ramai sahabat dan saudara menyolati dan menghantar saya ke liang lahad. Amiin..~

3 Percakapan:

Amy Natasha Adam said...

Little mermaid????heeee..i tggu2 entry baru u taw..=)

NURUL ATIQAH BINTI RAYAH said...

cet!

u rindu kt i ea?ni i dh tulis..panjang gitu..:D

Afif Abdullah said...

sedih yg cerita kedua..:(

Post a Comment