Saturday, April 17, 2010 By: Nurul Atiqah binti Rayah

Terima Kasih Wahai Tuhanku..


Salam 'alaik.

Usrati al-Mahbubah [xcukup lagi ni] 
Dah hampir 3 hari aku berada di rumah. Rindu akhirnya terubat bila dapat bersama-sama keluarga. Masa bersama keluarga inilah aku cuba manfaatkan sebaik mungkin. Pagi 16 April 2010, turun dari bas ekspres dari Kuala Lumpur, wajah pertama yang aku lihat adalah wajah Abuya. Meskipun tidurnya terganggu kerana terpaksa mengambil aku yang baru sampai, dia tetap tersenyum. Itulah Abuya. Sentiasa tenang. 

Bangun pagi, Mujahid (adikku yang bongsu) dengan mata terpisat-pisat, baru bangun tidur, datang kepadaku.

"Kakngah, Adik rindu Kakngah.." 

Mujahid dengan nada yang manja, menyambung tidur di sebelahku. Kakak, tersenyum melihat Adik. Adik-adikku semua semakin membesar. Tiada apa yang aku doakan untuk mereka semua melainkan mereka semua akan terpilih menjadi pejuang agama Allah. Ameen.

Mujahid, si bongsu penceria kami
Bangun dari tidur, aku mencari Ummi. Tempat aku meluahkan segalanya. Tempat aku bercerita itu dan ini. Ceritalah apa sahaja, Ummi setia mendengar, Ummi setia memberikan pendapat dan nasihat. Dialah ibuku, juga teman baikku. Kadangkala mengkritik, tapi dengan jalan yang membina. Aku tidak segan untuk menangis di depan Ummi, kerana aku tahu Ummi akan bernas menyampaikan nasihatnya untuk aku. 

Malam itu, selepas selesai solat berjemaah, aku cuba memberikan tazkirah untuk adik-adikku. Aku mulakan dengan pertanyaan. Sejauh mana kita bersyukur? Ilah dan Kakak kulihat terdiam sambil berfikir. 

Aku bertanya lagi, "Ada tak kita ingat Allah tanpa sedetik pun kita tak pernah lupa pada Dia?" 

Adik-adikku menjawab," Hmm..takde."

Aku minta adik-adikku sebutkan nikmat yang Allah bagi pada kami semua. Mereka sebut satu-persatu. Kepada mereka aku terangkan, nikmat Allah itu, jika disenaraikan takkan pernah habis. Dia sentiasa ingat akan hamba-hamba-Nya, tapi kita sering lalai. Kadangkala berasa megah dengan nikmat Allah, berasa ianya milik kita, tapi tanpa sedar semua itu adalah kurniaan Allah. 

Keluarga yang bahagia, anak-anak yang soleh dan solehah, rezeki yang halal, dan banyak lagi, ini semua adalah nikmat Allah. Aku bersyukur pada-Mu Ya Rahman kerana memberikan aku Abuya dan Ummi, adik-beradik yang baik, yang soleh, rezeki yang tidak disangka-sangka. Permudahkan perjalanan hidup kami Ya Rahim. Sesungguhnya kami ini adalah hamba-hamba-Mu yang tidak berdaya.

Moga ujian yang Engkau berikan akan menjadi penghapus dosa-dosa kami Ya Ghaffar..~

0 Percakapan:

Post a Comment