Salam 'alaik.
Salam Aidil Adha buat semua Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah. Macamana dengan Aidil Adha kali ini? Pastinya masing-masing mempunyai pelbagai pengalaman yang berbeza kan? Saya pula, tahun ini beraya di rumah saja, kebetulan tahun ini Abuya ambik bahagian dalam 'korban'. Raya tahun ini agak berbeza, mungkin kerana anak-anak Umi dan Abuya masing-masing sudah meningkat dewasa. Jadi, sudah tiba saatnya anak-anak berbakti, memberi peluang kepada kedua-dua mereka untuk berehat pula. :)
Untuk entri kali ini, saya ingin bercerita tentang 'korban' sempena Hari Raya Aidil Adha yang sangat sinonim dengan perkataan ini. Teringat waktu sekolah dulu, untuk subjek Bahasa Melayu ada perkataan sama tapi banyak maksud. Bukan soal ini yang saya nak ulaskan di sini. Cuma, saya ingin pembaca sekalian menghayati apa erti sebenar 'korban'.
KORBAN 1
Hari ini, terpampang di muka depan, berita tentang kemalangan yang meragut nyawa 1 keluarga yang dalam perjalanan pulang ke kampung untuk berhari raya. Selak lagi di halaman seterusnya, berita mengenai kemalangan juga. Sampai tak terkira berapa kali menggelengkan kepala bila baca kisah-kisah dalam akhbar ni. Hm, terKORBAN dalam nahas jalan raya.
KORBAN 2
Hari ini, raya ke-2 Aidil Adha. Tengah hari tadi Abuya ke Dungun, menziarahi jenazah ayah kepada sahabat Abuya yang meninggal pagi tadi. Adik-beradik lelaki termasuk Mujahid semua turut serta mengikuti Abuya. Abuya pulang kira-kira selepas zuhur, setelah selesai semua urusan pengkebumian jenazah. Tiba-tiba Mujahid menangis sewaktu beberapa soalan dikemukakan kepada Abuya.
Kami semua kehairanan. Kenapa Mujahid tiba-tiba menangis? Saya tengok, muka Abuya serba salah. Kami tanya Mujahid, apa yang buat dia menangis, tapi Abuya menghalang. Setelah beberapa ketika, tangis Mujahid reda. Saya mendekati si kecil itu. Sambil memeluknya, saya cuba menyelami isi hati penceria keluarga ini.
Saya: "Adik, kenapa Adik nangis? Biasanya kan, Adik bagus. Adik tak nangis, Adik kan budak baik."
Mujahid: "Rambut Abuya dah putih. Abuya dah tua. Nanti kalau Abuya tak de, sape nak jadi ayah?"
Saya: "Adik la pulak jadi ayah. Nanti Adik besar, Adik kawin, Adik jadi ayah pulak."
Saya cuba melindungi perasaan saya dalam hati. Hakikatnya, waktu itu saya sendiri sedih mendengar soalan dari adik bongsu saya yang berusia 6 tahun ini. Dia sudah pandai menilai erti kehilangan, hatinya sangat lembut dan mudah tersentuh. Dia sudah mula memikirkan bagaimana nasibnya jika ketua keluarga kami (Abuya) tiada. Kata Abuya, Mujahid tengok dari saat jenazah disolatkan sehinggalah selesai talkin.
Benarlah, barangsiapa berbuat kebaikan, nescaya dia akan disayangi manusia. Dan Abuya kami, pengorbanannya untuk anak-anak dan keluarga sangat besar, sangat sukar mencari seorang ayah sepertinya. Dan saya, ketika itu menghitung sendiri. Apakah sempat untuk saya berbakti dan membalas segala jasanya?
Wahai Tuhan, pengorbanan Abuya tidak terhitung oleh kami. Sedangkan kami sebagai anak-anaknya kadang mengguris hati tuanya, namun Abuya tidak pernah lupa walau sesaat pun berdoa untuk kami. Kami yang seramai ini, kadang tidak pernah berkorban untuk dia. Yang kami tahu hanya kehendak dan keperluan kami yang perlu Abuya tunaikan. Wahai Tuhan, berikanlah kami kesempatan untuk berkorban dan berbakti kepada Abuya selama hayat Abuya masih ada.
p/s: Kadangkala, kita lebih mengagungkan pengorbanan orang lain dari pengorbanan ibu dan bapa kita sendiri. Renung-renungkanlah..~
0 Percakapan:
Post a Comment