Hari ni dah 29 Ramadhan. Semalam, kebanyakan teman-teman sibuk meramal lailatul qadar. Malam ganjil, antara salah satu tanda malam yang lebih baik dari 1000 bulan ini. Sebelum tidur semalam, saya berfikir sendirian. lailatul qadar ini hanya untuk mereka yang benar-benar terpilih sahajakah? Bagaimana jika seseorang itu bertemu lailatul qadar tanpa disedarinya? Oh, alangkah ruginya dia!
Sewaktu kami sekeluarga bersahur, adik perempuan saya yang sedang menuntut di UiTM bercerita kepada kami bahawa dia terdengar ayam & itik jiran kami tidak berhenti-henti berbunyi. Lalu dia bertanya adakah itu antara salah satu tanda-tanda lailatul qadar? Saya hanya cuba berseloroh sambil mengatakan bahawa itu adalah simptom biasa bagi binatang ternakan, tetapi dia dengan yakin berpendapat bahawa itu adalah satu kejadian yang luar biasa. Wallahua'lam. :D
Teringat pada zaman persekolahan dulu, Ustazah Amnah, guru Bahasa Arab Tinggi merangkap guru kelas saya pernah bercerita bahawa keajaiban lailatul qadar ini telah Allah perlihatkan dengan pelbagai tanda-tanda yang kadang-kala tidak pernah terfikir oleh akal manusia. Ceritanya begini;
Ada seorang nenek yang buta tinggal berdua dengan seorang cucunya. Mereka tinggal dengan keadaan yang miskin, tetapi nenek tua ini tidak pernah mengabaikan cucunya meskipun dirinya buta. Suatu malam (dipercayai malam itu adalah malam lailatul qadar), nenek tua ini hendak mengambil wudhu' di perigi. Tetapi tiba-tiba beliau berasa sangat terkejut kerana air di dalam perigi itu menjadi beku seperti ais.
Lantas, dengan rasa yang kagum kepada Allah serta yakin bahawa ini adalah salah satu petunjuk malam yang dinanti-nanti oleh setiap hamba-Nya pada bulan Ramadhan, beliau berdoa,"Ya Allah, jika Engkau telah memilih aku sebagai hamba-Mu yang beruntung pada malam ini, maka sembuhkanlah penglihatanku ini."
Lantas, dengan izin Allah, maka nenek tua itu kembali melihat. Itulah antara kekuasaan Allah bagi hamba-hamba-Nya yang sentiasa berserah dan percaya dengan janji Allah. Ada juga seorang teman yang mengatakan bahawa Syeikh Ibrahim Samaluti,tuan guru kpd Syeikh Soleh Jaa'fari dan Syeikh Idris al-Marbawi,pernah mendapat lailatul qadar, ketika bersujud di Masjid Sayyidina Hussain. Beliau mendengar batu berzikir kpd Allah.
Subhanallah. Diri ini terasa sangat-sangat kerdil. Mereka adalah insan-insan yang terpilih. Tapi, kita ini kadang-kala tenggelam dengan kelalaian. Betapa diri ini sangat rugi, sedangkan kematian sentiasa menghampiri. Saya berdoa kepada Tuhan, supaya Dia kuatkan kita meniti jalan hidup ini, memberi hidayah sehingga akhir denyut nadi. Aminn~
0 Percakapan:
Post a Comment