Sunday, July 4, 2010 By: Nurul Atiqah binti Rayah

4 Hari Di Kuala Berang

Salam 'alaik..



Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya mengenai kepimpinannya. Imam (Ketua Negara) adalah pemimpin dan akan ditanya mengenai kepimpinannya, suami (bapa) adalah pemimpin dan akan ditanya mengenai kepimpinannya, wanita pemimpin di rumah suaminya dan akan ditanya mengenai kepimpinannya, orang gaji adalah pemimpin kepada harta benda yang diamanahkan kepadanya dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Tiap-tiap kamu adalah pemimpin dan kamu akan ditanya mengenai kepimpinan kamu".

(Hadis Riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi dan Ahmad)

Semalam saya baru pulang dari Pusat Latihan RELA Wilayah Timur di Kuala Berang. Saya ke sana selama 4 hari, dijemput menjadi fasilitator untuk mengendalikan Kem Profesionalisme SMK(A) Sheikh Abdul Malek yang melibatkan adik-adik pengawas SHAMS. Alhamdulillah, segala-galanya berjalan lancar. Sahabat saya bertambah, adik-adik saya pun telah bertambah. Mereka semua baik-baik, saya senang dengan mereka. Saya juga berkenalan dengan beberapa cikgu yang datang menyelia sepanjang program ini berlangsung.

Saya banyak memerhati dan berfikir sepanjang program ini. Kem Profesionalisme ini adalah kem yang dijalankan bagi memberi pendedahan kepada adik-adik yang terpilih untuk menjadi seorang pemimpin yang unggul. Secara jujurnya, saya berasa kagum dengan semua kebolehan adik- adik ini. Mereka didedahkan dengan cara menguruskan sesuatu organisasi dengan betul, cara mengendalikan mesyuarat, dan cara menyampaikan ucapan umum dan sebagainya.
 
Saya memuji barisan komiti program dengan modul yang dirangka dan juga kesungguhan mereka bagi mencapai objektif setiap slot. Bukan senang mahu memastikan setiap objektif tercapai. Adakalanya para peserta pasif, mengantuk, tidak bersemangat dan sebagainya. Namun, hal ini berjaya dielakkan dengan persediaan-persediaan dari pihak komiti.

Saya melihat adik-adik ini sebagai aset yang sangat berharga bagi ummah. Mereka semua adalah pemimpin, dan mereka jugalah yang bakal mewarisi kepimpinan yang akan datang. Pemimpin bagaimana yang ingin dilahirkan? 


Dari 'Auf bin Malik, katanya, saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Pemimpin-pemimpin pilihan di antara kamu semua ialah orang-orang yang kamu
cintai dan mereka pun mencintai kamu, juga yang kamu doakan kebaikan untuk
mereka dan mereka pun mendoakan kebaikan untuk kamu semua."

"Adapun pemimpin-pemimpin yang jahat di antara kamu semua ialah orang-orang yang
kamu benci dan mereka pun membenci kamu semua, juga yang kamu laknati mereka dan
mereka pun melaknat kamu semua."
'Auf berkata, kita para sahabat lalu berkata, "Ya Rasulullah,apakah kita tidak
boleh menentang kepada pemimpin-pemimpin yang sedemikian itu?"

Beliau s.a.w. bersabda, "Jangan menentang mereka, selama mereka masih tetap
mendirikan solat di kalanganmu semua."

(Riwayat Muslim)



Seorang pemimpin yang unggul bukanlah hanya mantap dari segi bakat kepimpinannya sahaja, bahkan juga hubungan yang mesti dijaga dengan Allah SWT. Andai hubungan dengan Allah terjaga, hubungan dengan manusia juga insya Allah akan dijaga oleh Allah SWT. Keperibadian dan akhlak mesti seimbang dengan kebijaksanaan. Berapa ramai pemimpin yang bijak pada hari ini malangnya mereka melawan Allah. Rakyat menderita, hak milik rakyat disalahguna, korupsi jadi mainan.

Begitulah jika pemimpin yang dipilih tidak mempunyai rasa takut kepada Allah. Sedangkan amanah itu satu tanggungjawab, bukan untuk dibanggakan. Setiap apa yang kita lakukan pasti akan ditanya oleh Allah SWT di akhirat nanti. Semoga adik-adik ini akan menjadi pemimpin yang dapat membawa satu evolusi baru untuk negara juga agama. Insya Allah.



p/s: Saya terkenangkan zaman saya menjadi pengawas dan adik-adik di KOSPINT.


0 Percakapan:

Post a Comment