Friday, July 9, 2010 4 Percakapan By: Nurul Atiqah binti Rayah

Sahabat Saya, Buah Hati Saya

Saya sangat gembira sejak kebelakangan ini. Bila saya fikirkan kembali, saya gembira mungkin kerana insan-insan yang berada di sekeliling saya. Mereka sangat membantu dan menyokong saya. Mereka menenangkan saya bila mana saya berasa sedih atau gelisah. Merekalah yang saya panggil sahabat. Kita sentiasa mendengar, "Sahabat masa ketawa, senang dicari. Sahabat di waktu sukar, mungkin satu dalam seribu."

Alhamdulillah, Allah mengurniakan sahabat-sahabat yang baik kepada saya. Sahabat yang sentiasa mengingatkan saya tatkala saya lupa, yang sentiasa membawa saya ke jalan Dia. Saya tak dapat menafikan lagi, ini adalah antara nikmat terbesar dalam hidup saya. Sahabat; mereka membawa pengaruh yang besar dalam hidup saya. Mereka adalah cermin saya. Tempat meluahkan perasaan saya tak kira sedih, gembira, sakit, atau pun di kala saya bermasalah.

Saya belajar bersahabat sejak saya kecil mungkin. Dari bersekolah di PASTI, kemudian ke sekolah rendah, sekolah menengah, ke universiti. Jika dibilang sahabat-sahabat saya pasti tak terkira. Hehe. Perasan ramai sahabat la tu. :D
Antara sahabat-sahabat yang saya ingat sampai sekarang sewaktu saya di PASTI; Aishah, Afif, Iqbal, Faiz. (sahabat-sahabat saya waktu ni ramai lelaki sebab saya sangat rapat dengan abang saya. Ke mana sahaja abang saya keluar bermain, wajib saya ada sekali. :D)

Sewaktu di SRP, saya rapat dengan Shafiqa. Sampai waktu cuti pun, sanggup ayah dia jemput saya di rumah untuk pergi ke rumahnya di Rantau Bukit. Saya tinggal di Kertih waktu itu. Ada lebih kurang 15 minit juga dari rumah saya ke rumah Shafiqa. Dulu, saya sangat la tak pandai subjek Bahasa Inggeris. Tapi, oleh kerana mak Shafiqa ni cikgu, jawapan-jawapan kerja rumah Shafiqa besenya akan semua betul. Saya? Pagi-pagi lagi saya akan check jawapan saya dengan jawapan Shafiqa. Kalau ada jawapan kami yang tak sama, kami akan betulkan biar semuanya sama. Hehe..

Saya masih ingat, waktu saya di kelas 4 Intan di Sekolah Rantau Petronas saya bergaul baik dengan rakan-rakan India dan Cina. Saya ingat lagi nama-nama mereka. Soo Tot Lik Xiong, Steven, dan Sutesh Kumar. Lik Xiong duduk di depan saya dalam kelas. Dialah yang akan selalu kritik kerja-kerja Bahasa Inggeris saya. Dia tau yang saya tak minat Bahasa Inggeris sebab biasanya saya hanya akan betul 1 atau 2 soalan je daripada 10 soalan yang diberi. Mungkin kerana kritikannya itu, saya bangkit untuk memperbaiki diri. Dan sekarang, saya berterima kasih pada dia walaupun saya tidak tahu dia berada di mana.

Saya masuk ke sekolah baru iaitu Sekolah Kebangsaaan Seri Paka pada usia 11 tahun iaitu sewaktu darjah 5. Waktu ini saya jadi "budak baru". Perasaan takut dan bayangan bukan-bukan akhirnya lenyap apabila sahabat-sahabat di sini sangat-sangat baik dengan saya. Hidayah, Faten, Siti, Mahani, Amimah, Hajar, mereka semua antara sahabat-sahabat yang baik dengan saya. Saya masih ingat sewaktu hari pertama saya di sekolah "baru", mereka ajak saya mengelilingi sekolah, konon-konon nak tunjuk bangunan dan tempat-tempat dalam sekolah. Indahnya saat itu..

Naik ke sekolah menengah, sahabat yang sangat rapat dengan saya adalah Tuan Anis Syukriah binti Tuan Ibrahim. Seingat saya, setiap tingkatan mesti saya akan ada sahabat-sahabat yang rapat. Ayu Afzanani, Noornatisha adalah antara mereka yang rapat dengan saya, tetapi akhirnya mereka berpindah ke MRSM sewaktu tingkatan 4. 

Saya boleh katakan bahawa sahabat mencorakkan 50 ke 70% peribadi diri. Kerana kita akan lebih mempercayai sahabat berbanding dengan diri kita sendiri. (betul ke?)
Sahabat adalah mereka yang sangat memberi pengaruh yang kuat kepada diri. Positif sahabat, maka positiflah diri. Dan begitulah jika sebaliknya.

Zaman di institusi pengajian tinggi, saya boleh katakan bahawa saya banyak belajar erti persahabatan dari pengalaman yang saya lalui. Ketika di KUSZA, saya bukanlah seorang yang aktif. Pernah sekali saya dimarahi oleh pensyarah di depan kelas kerana ponteng Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pelajar Undang-undang. Waktu itu, mungkin saya tidak menyedari pentingnya berpersatuan. Atau mungkin juga saya tidak suka atau kurang bersetuju dengan suasana kepimpinan di sini. 
(Di KUSZA waktu itu pemilihan MPP dibuat tanpa pengundian.)


 Zahidah, sahabat baik saya di KUSZA


Pun begitu, saya berterima kasih kepada sahabat-sahabat satu kelas dan juga senior-senior saya. Mungkin, jika Allah tidak takdirkan saya berada di sana bersama-sama mereka saat itu, saya tidak akan tahu erti sebenar persahabatan. Siapa yang sebenarnya layak digelar sahabat, biarlah Allah sahaja yang tahu. Alhamdulillah, mungkin kebenaran itu akan hadir jua akhirnya, maka Allah tunjukkan siapa yang ikhlas bersahabat kerana Dia. Saya akui keajaiban dan kekuatan doa apabila kita bersungguh-sungguh meminta dari-Nya.

Setelah menyambung pengajian, saya temui ramai sahabat-sahabat yang baik di sini. Seorang sahabat saya sewaktu sekelas di KUSZA dulu pernah mengatakan bahawa saya sudah berubah. Jika dulu hidup saya hanya dengan sahabat baik saya yang seorang tu dan buku-buku, tapi di sini saya suka menyertai program. Sebenarnya, saya pun tak pernah terfikir untuk aktif di sini. Saya tak pernah sama sekali pun rasa diri saya ni aktif. Saya teringat kata-kata seorang sahabat saya, "Allah memilih saya untuk berada di sini, di jalan ini. Maka saya harus bersyukur."

Dan sekarang, di sini, pada hari ini, saya bersyukur dan tak akan pernah berhenti bersyukur. Saya akan terus belajar. Belajar dari pengalaman. Tak mengapa jika saya tersilap. Kerana di sebalik kesilapan itulah saya belajar memperbaiki diri dan berhati-hati. Saya beruntung kerana saya dipilih oleh Allah untuk merasai sendiri pengalaman itu. Kerana pengalaman tidak dapat dibeli. Sama ada kita mahu memilih yang positif atau negatif dari pengalaman yang ditempuh, ianya bergantung atas diri kita. Cuma satu yang telah Allah janjikan, di sebalik kepayahan itu akan ada kesenangan.

Untuk sahabat-sahabat di UIA
Usrah Raudhah; Along, Kina, Mar, Munira, Dila.
AIKOL; Akmami, Fizah, Adik, sahabat-sahabat LAWSOC, sahabat-sahabat AIKOLFest..
GC'09; Mainboard, esp. Amy, Kina, Dila, dan lain-lain (ramai sangat),
Sahabat-sahabat HISMAT; Shida, Che Ma, Kak Mar, Ummu, dll.

Juga buat sahabat-sahabat yang pernah sama-sama berjuang dengan saya dulu bermula di PASTI, SRP, SKSP, KOSPINT dan juga KUSZA:

Semoga persahabatan yang pernah terbina takkan pernah terputus biar pun tiada suara atau kata-kata yang kedengaran setelah sekian lama. Hapuskan titik hitam dan dendam di hati. Buat semua sahabat yang pernah saya kenali dan jika kalian pernah mengenali saya,saya mohon maaf atas segala kesilapan, terkasar bahasa atau jika kamu pernah mengatakan bahawa saya sombong. Jujur saya katakan, saya tak pernah terniat untuk sombong dengan sahabat-sahabat saya. Cuma mungkin waktu yang ada pada saya sekarang agak terhad. Mungkin kerana itulah ada antara SMS yang tak sempat saya balas.

Sahabatku, terima kasih atas persahabatan yang tiada nilai ini. Semoga Allah meredhai kita!

p/s: semalam sgt hepi lg sbb jmpe balik Adik Faiz kt FB yg skrg dh study kt Jepun. :)
Sunday, July 4, 2010 3 Percakapan By: Nurul Atiqah binti Rayah

Akan Merindu

Hari ini merupakan hari terakhir saya berada di rumah. Malam ini, insya Allah saya akan menaiki bas pulang ke UIA. Selepas ini saya tidak tahu bila saya akan dapat pulang ke rumah lagi. Ummi dari semalam lagi asyik mengingatkan saya tentang barang-barang yang perlu dibawa.

"Ambiklah makanan-makanan yang Kakngah rasa nak bawak.."

"Baju ni Kakngah nak bawak tak?"

"Tolong bagi ubat ni kat Rijal (abang saya).."

Itu Ummi saya. Abuya pula, seusai maghrib sudah mengetuk pintu bilik saya.

"Kakngah nak makan ape malam ni?"

Saya sangat suka soalan ini, sebab saya memang suka makan. Hehe. Tapi, sejak minggu lepas, Abuya tak berapa sihat, dan ini amatlah membimbangkan kami semua. Abuya sangat jarang sakit, bila tiba-tiba Abuya sakit, kami semua cukup-cukup bimbang. Dari minggu lepas berulang-alik ke klinik, bila takde apa-ape perubahan, Ummi beli ubat di farmasi. Pun takde sebarang perubahan jugak, dan semalam pergi lagi ke klinik. Kesiannya Abuya. Muka Abuya berkerut-kerut tahan sakit.

 

Bila Ummi & Abuya balik, mereka beli makanan kegemaran saya. Saya sangat tersentuh dengan mereka. Dalam keadaan Abuya tak berapa sihat, masih lagi cuba untuk memenuhi kehendak saya. Kadang-kadang saya rasa bersalah sebab selama ini saya fikir saya telah banyak menyusahkan mereka. Namun, mereka tetap tidak pernah merungut, malah cuba untuk memenuhi kehendak anak-anak yang seramai 10 orang ini.

Nasi Goreng Cendawan Loh's De Corner

Adik saya yang bongsu pula, sering mengutarakan soalan-soalan KBKK untuk seisi rumah.

"Allah takde mata kan?"

"Kat mane Allah?"

Lepas tu, dia pulak sendiri yang jawab. Katanya cikgu dah ajar kat sekolah. Saje nak test orang la tu..(-_-')
Mujahid sangat la suka dengar lagu-lagu Maher Zain. Ummi beli dan pasang CD nasyid Ae Man,Mujahid mintak tukar lagu Maher Zain. Paling Mujahid suka adalah lagu "Barakallahulakuma". Ada insiden paling lawak yang buat saya nak tergelak bila Ummi cerita pada saya berkenaan lagu ni.

Satu Hari, Mujahid tanye Ummi. Biasala, Mujahid suka menduga.



"Lagu Barakallah tu lagu orang kawin nyanyi ke isteri dia kan?"

Ummi jawab, "Ye...mane Adik tau?"

[Mujahid dengar masa saya bersembang dgn Ummi dan Abuya dalam kereta la tu..]

"Kenapa Abuya tak nyanyi pun kat Ummi sebelum tido?"

Ummi tergelak-gelak, tak tau nak ckp apa. Adui, sayangku Mujahid. Apesal la awak ni advance sangat berfikir? Saya yang mendengar Ummi bercerita ni pun dah tergelak-gelak. Memang la budak-budak zaman sekarang ni. Konon-konon lagu "Barakallahulakuma" tu lagu dodoi sebelum tidur. Ishh..


Saya akan merindukan mereka. Pasti..

4 Hari Di Kuala Berang

Salam 'alaik..



Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya mengenai kepimpinannya. Imam (Ketua Negara) adalah pemimpin dan akan ditanya mengenai kepimpinannya, suami (bapa) adalah pemimpin dan akan ditanya mengenai kepimpinannya, wanita pemimpin di rumah suaminya dan akan ditanya mengenai kepimpinannya, orang gaji adalah pemimpin kepada harta benda yang diamanahkan kepadanya dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Tiap-tiap kamu adalah pemimpin dan kamu akan ditanya mengenai kepimpinan kamu".

(Hadis Riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi dan Ahmad)

Semalam saya baru pulang dari Pusat Latihan RELA Wilayah Timur di Kuala Berang. Saya ke sana selama 4 hari, dijemput menjadi fasilitator untuk mengendalikan Kem Profesionalisme SMK(A) Sheikh Abdul Malek yang melibatkan adik-adik pengawas SHAMS. Alhamdulillah, segala-galanya berjalan lancar. Sahabat saya bertambah, adik-adik saya pun telah bertambah. Mereka semua baik-baik, saya senang dengan mereka. Saya juga berkenalan dengan beberapa cikgu yang datang menyelia sepanjang program ini berlangsung.

Saya banyak memerhati dan berfikir sepanjang program ini. Kem Profesionalisme ini adalah kem yang dijalankan bagi memberi pendedahan kepada adik-adik yang terpilih untuk menjadi seorang pemimpin yang unggul. Secara jujurnya, saya berasa kagum dengan semua kebolehan adik- adik ini. Mereka didedahkan dengan cara menguruskan sesuatu organisasi dengan betul, cara mengendalikan mesyuarat, dan cara menyampaikan ucapan umum dan sebagainya.
 
Saya memuji barisan komiti program dengan modul yang dirangka dan juga kesungguhan mereka bagi mencapai objektif setiap slot. Bukan senang mahu memastikan setiap objektif tercapai. Adakalanya para peserta pasif, mengantuk, tidak bersemangat dan sebagainya. Namun, hal ini berjaya dielakkan dengan persediaan-persediaan dari pihak komiti.

Saya melihat adik-adik ini sebagai aset yang sangat berharga bagi ummah. Mereka semua adalah pemimpin, dan mereka jugalah yang bakal mewarisi kepimpinan yang akan datang. Pemimpin bagaimana yang ingin dilahirkan? 


Dari 'Auf bin Malik, katanya, saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Pemimpin-pemimpin pilihan di antara kamu semua ialah orang-orang yang kamu
cintai dan mereka pun mencintai kamu, juga yang kamu doakan kebaikan untuk
mereka dan mereka pun mendoakan kebaikan untuk kamu semua."

"Adapun pemimpin-pemimpin yang jahat di antara kamu semua ialah orang-orang yang
kamu benci dan mereka pun membenci kamu semua, juga yang kamu laknati mereka dan
mereka pun melaknat kamu semua."
'Auf berkata, kita para sahabat lalu berkata, "Ya Rasulullah,apakah kita tidak
boleh menentang kepada pemimpin-pemimpin yang sedemikian itu?"

Beliau s.a.w. bersabda, "Jangan menentang mereka, selama mereka masih tetap
mendirikan solat di kalanganmu semua."

(Riwayat Muslim)



Seorang pemimpin yang unggul bukanlah hanya mantap dari segi bakat kepimpinannya sahaja, bahkan juga hubungan yang mesti dijaga dengan Allah SWT. Andai hubungan dengan Allah terjaga, hubungan dengan manusia juga insya Allah akan dijaga oleh Allah SWT. Keperibadian dan akhlak mesti seimbang dengan kebijaksanaan. Berapa ramai pemimpin yang bijak pada hari ini malangnya mereka melawan Allah. Rakyat menderita, hak milik rakyat disalahguna, korupsi jadi mainan.

Begitulah jika pemimpin yang dipilih tidak mempunyai rasa takut kepada Allah. Sedangkan amanah itu satu tanggungjawab, bukan untuk dibanggakan. Setiap apa yang kita lakukan pasti akan ditanya oleh Allah SWT di akhirat nanti. Semoga adik-adik ini akan menjadi pemimpin yang dapat membawa satu evolusi baru untuk negara juga agama. Insya Allah.



p/s: Saya terkenangkan zaman saya menjadi pengawas dan adik-adik di KOSPINT.