Salam 'alaik.
Semalam aku tersentak dari lamunan. Akhirnya Allah tunjukkan jawapan kepada persoalan hatiku selama ini. Ya Allah, aku ini terlalu hina. Tetapi sedikit pun rahmatMu tak pernah putus dariku. Sungguh benar janji Allah;
"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu wahai Muhammad tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Hendaklah mereka itu memenuhi perintahKu dan beriman kepadaKu, agar mereka memperoleh kebenaran.
[Al-Baqarah: 186]
Seringkali aku berdoa, minta Dia tunjukkan jalan kebenaran. Seringkali itu juga hati ini hiba bila terkenang kembali kisah silam. Dan saat itu juga kekesalan itu hadir. Pada siapa harus aku persalahkan? Wajarkah diri ini menuding jari? Tidak. Sama ada aku, dia, mereka, semuanya tidak bersalah. Segala yang berlaku harus aku syukuri. Ujian ini di sebaliknya ada nikmat, ada manis yang tak dapat aku ungkap. Allah menyayangi aku, lalu Dia datangkan ujian ini supaya aku lebih matang. Agar suatu hari nanti aku bisa menangani apa jua rintangan yang datang.
Kepadamu teman, aku hulurkan ucapan sejuta kesyukuran buatmu. Kerana kata-katamu, aku kini sedar dari lamunan. Aku memang layak disakiti. Kerana aku ini hamba. Ujian ini, biarpun perit, akan aku sambut dengan senyuman, yang di dalamnya terisi dengan kemanisan. Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati ini dalam agama-Mu. Moga aku ini layak terpilih antara serikandi-serikandiMu. Ameen.
Bukan niat hati ini untuk mempersalahkan, jauh sekali mengutip kembali apa yang telah kubuang. Prinsipku mudah, sekali aku disakiti, 2 kali aku akan berhati-hati. Hati ini, kumohon supaya ia akan suci. Suci dari segala penyakit yang bakal mengundang murka Ilahi. Biarlah diri ini dipersalahkan, cacilah dan hinalah aku. Aku bersedih, ya. Tapi air mata ini telah jadi mahal. Takkan kubaziri ia lagi. Kerana aku percaya, di sisiku ada Tuhan yang menemani.
Aku telan segala yang pahit kerana kupercaya Allah bakal menghadiahkan sesuatu yang manis buat hambaNya yang redha. Aku kuatkan kesabaran, kerana aku percaya Dia mencintai hamba-hambaNya yang setia denganNya. Aku berdoa meminta padaNya kerana aku yakin Dia mendengar dan Dia Maha Tahu apa yang terbaik buatku.
"Ya Allah, hanya padaMu tempat aku mengadu."
0 Percakapan:
Post a Comment