Pejam celik pejam celik, akhirnya dah hampir 3 bulan aku tak mengemas blog aku ni. Bukan tak nak mengemas, bukan malas [ecece] tapi kesibukan dan komitmen kepada kerja-kerja yang lebih utama menyebabkan niat untuk mengemaskini blog yang baru bertapak ni terkubur begitu sahaja.
Semester kali ini pastinya menjanjikan cabaran buatku. Melihat kepada subjek-subjek yang berjaya aku daftarkan, agak kecut perut juga. Tekadku kali ini, ingin aku melakukan yang terbaik untuk semua insan yang aku sayang. Dari apa yang aku dapat tahu, agak ramai juga sahabat-sahabat lelaki yang berjaya meraih anugerah dekan semester lepas. Terdetik perasaan kagum pada mereka kerana yang berjaya itu adalah mereka yang bagiku adalah cukup selamba, tak pernah menonjol di dalam kelas. Malah, pernah ditegur oleh lecturer kerana berpakaian selekeh pun ada.
Betullah kita ini tak layak menghakimi manusia hanya kerana dia kelihatan buruk di mata kita, walhal hati kita lebih busuk kerana berprasangka. Hanya Allah Yang Maha Tahu apa yang ada di dalam hati kita walaupun sebesar zarah. Astaghfirullah.. Kadangkala diri ini tidak sedar akan keterlanjuran lintasan hati. Semoga Allah mengurniakan sekeping hati yang suci dan bersih untuk kita semua. Insya Allah.
Bercakap mengenai hati, ianya bukanlah satu hal yang dapat dizahirkan, hingga wujud satu pepatah Melayu, “rambut sama hitam, hati lain-lain”. Begitulah rumitnya deskripsi hati ini. Perbuatan baik seseorang kadangkala tidak sama dengan apa yang ada dalam hatinya. Bukanlah aku prejudis terhadap mereka yang berbuat baik, tetapi hanya memberi satu contoh mudah tentang hati.
Mungkin aku tidak layak berbicara soal hati kerana aku bukanlah seorang yang pakar tentang hati dan perasaan ini. Tetapi, dari pandangan peribadiku sendiri, tidaklah wajar untuk seseorang itu meletakkan penghakiman melalui apa yang dilihat dari lahiriah. Pandangan mata itu seringkali menipu. Itu yang aku belajar selama ini. Kata-kata manusia yang lahir dari hati itu juga kadangkala menipu. Namun, apa yang pasti ikhlasnya perbuatan seseorang itu adalah rahsia Allah.
Hanya Allah Yang Maha Tahu sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak. Seseorang itu tidak boleh mengatakan yang dia ikhlas membuat itu dan ini, kerana ikhlasnya sesuatu perbuatan hanya boleh dinilai oleh Allah SWT. Oleh sebab itu, Nabi S.A.W. sentiasa berdoa dalam setiap solat baginda supaya dikurniakan sekeping hati yang suci dan bersih. Suci dari setiap hasad dengki dan dendam. Itu doa baginda Rasulullah S.A.W., apatah lagi kita sebagai umat baginda yang tidak pernah pasti di mana tempat akhir kita nanti; syurga atau neraka?
Ingatan untuk diri yang jahil ini juga untuk sesiapa yang membaca, hati kita perlu diperiksa dan diservis. Bersihkah hati kita selama ini? Pernahkah kita meminta agar Allah menyucikan hati kita? Atau kita seringkali berasa tidak puas hati terhadap kesenangan orang lain, hatta sahabat kita sendiri pun kita sanggup mengata-ngata. Nauzubillah. Tepuk dada, tanya iman. Wallahua’lam.
"Sungguh, Allah tidak akan menzalimi seseorang walaupun sebesar zarah, dan jika ada kebajikan (sekecil zarah) nescaya Allah akan melipat gandakannya dan memberikan pahala yang besar dari sisi-Nya." [4:40]
0 Percakapan:
Post a Comment