Salam 'alaik buat semua pembaca budiman.. (macam ramai sgt je yg bace blog ni kan?ahaha~)
Pertama-tamanya, seinfiniti Alhamdulillah buat Yang Maha Mencipta sebab Dia bagi peluang saya menaip entri untuk kali ini. Eh, kenapa macam skema ni Iqah? Takdela, memang kena bersyukur banyak-banyak, sebab nikmat yang Allah bagi tu tak terkira banyaknya. Alhamdulillah. Sebenarnya, ada banyak sangat perkongsian yang ingin dinukilkan kat sini. First thing first, we go one by one, ok? :)
ANTARA NIKMAT & SYUKUR
Yang terutama, saya nak kongsikan pasal nikmat yang kita ada dan jugak rasa syukur dalam diri kita. Soalan saya, cuba kira berapa banyak nikmat yang Allah bagi kat kita sebagai HAMBA? Dan pernah tak kita rasa sangat-sangat bersyukur dengan nikmat yang kita dapat tu? Kadang-kadang, kita akan rasa kaya tu nikmat. Dapat makan tu nikmat. Ada duit yang cukup tu nikmat. Betul, semua tu adalah nikmat, tapi jangan lupa. Kadang-kadang kesusahan itu juga satu nikmat, sebab ia akan jadi penyebab untuk kita lagi dekat dengan Tuhan.
Tak percaya? Contoh; Akhir tahun baru-baru ini, adik saya Maryam Jameelah ditimpa kemalangan. Bila dia yang menunggang motosikal berlanggar dengan lori, pastilah yang teruk adalah dia. Alhamdulillah, adik saya sedar walaupun menurut doktor, pankreasnya luka. Apabila melihat sendiri keadaannya, saya berasa insaf. Bila tengok dia tak dapat makan dan minum seenaknya macam dulu, bila tengok mukanya pucat tak berdarah menahan kesakitan, bila tengok dia muntah-muntah bila apa yang dimakan tak dapat dihadam dengan baik, dan banyak lagi perkara yang buat hati saya sangat sedih dan bersyukur. Sedih bila tengok insan yang kita sayang menderita, dan bersyukur bila Allah timpakan ujian yang tak seberapa ini. Sebab, ada lagi insan lain yang lebih menderita. Alhamdulillah.
ALLAH MAHA TAHU
Hal kedua, baru-baru ini salah seorang sahabat saya bersedih. Kerana apa yang diimpikan, tak menjadi milik dia. Saya menyelami isi hati dia. Dia berharap dan menunggu lebih kurang hampir 5 tahun. Tapi sehingga baru-baru ini, Allah bagi jawapan pada dia bahawasanya apa yang diimpikan itu, bukan itu takdir yang Allah mahu. Maka menangislah sang sahabat kerana sedih dan kecewa. Lalu saya peluk dan bisikkan pada dia, ada sesuatu yang lebih baik Allah sedang simpan buat dia. Sesungguhnya apa yang dia harapkan itu bukanlah yang terbaik. Ada juga dia mempersoalkan kenapa ini yang terjadi setelah bunga-bunga harapan itu ada dalam tempoh 5 tahun ini. Saya beri sedikit peringatan pada dia, syaitan ini mudah sangat mencucuk jarum pada kita pabila kita sedang bersedih. Maka, pada waktu beginilah kita harus perbanyakkan istighfar, cari jawapan dengan Allah, tadabbur ayat-ayat suci. Kerana mendekatkan diri kepada Rabb adalah jalan terbaik, juga ubat hati.
Bersabar. Walau ungkapan ini mudah ditutur, namun secara praktikalnya, bergelen juga air mata yang tumpah. Sedih. Saya tahu itu. Kerana bila saya melihat dia menangis, sebenarnya, hati saya juga turut ikut bersedih. Saya pernah mengalami hal yang sama. Pernah merasai erti kecewa. Masakan bila orang yang dekat dengan saya menangis, saya boleh tersenyum pula? Hati saya ikut berkata, "Atiqah, ambillah pengajaran dari orang di sekelilingmu. Mereka adalah guru terbaik."
Maka oleh sebab itu, saya tanamkan dalam hati, "Saya sudah serik."
ANTARA POSITIF DAN NEGATIF
Ada banyak hal yang berlaku di sekeliling saya, ada banyak jenis manusia yang ada di sekeliling saya, dan ada banyak juga perkara yang kadang-kala buat saya tak mampu bertoleransi. Kadang kala, saya penat dengan kerenah manusia, tapi cepat-cepat saya mengingatkan bahawa saya juga tak sempurna. Kadang-kala, mahu saja saya biarkan empangan air mata ini pecah, biar terubat semuanya tapi pantas pula hati berbisik meminta saya pendamkan segalanya.
Saya penat dengan hidup. Tapi, saya tak bersedia untuk mati. Saya insan lemah, insan hina yang penuh dengan dosa. Saya ingin minta maaf buat sesiapa yang membaca, kalau ada perbuatan saya yang tak kena. Sungguh, saya tak mampu memuaskan hati semua orang, walau sehabis mungkin saya cuba bermanis muka. Maafkan saya ya.. ;)