Pernah engkau mendengar kata-kata ini, barangkali hadis yang pernah aku dengari di mana-mana, yang berbunyi, janganlah engkau mengutuk pelaku dosa kerana kelak sebelum mati engkau akan melakukan dosa yang sama?
Aku rasa itu ada benarnya, kalaupun sumber kata-kata itu tidak dapat dikenalpasti. Pertama, Islam memang melarang kita untuk membenci pelaku dosa. Yang patut dibenci adalah kesalahan yang dilakukan itu. Kedua, perkara itu pernah berlaku pada diriku sendiri.
Teman sebilikku dulu, ketika kukenali sedang asyik bercinta dengan pasangannya. Aku yang diajar bahawa berpasangan itu salah, berhubungan lelaki perempuan bukan mahram itu adalah kemaksiatan besar sejak sekolah lagi, sering pula memandang jelik tingkah-lakunya itu. Tetapi sebenarnya, aku sendiri terperangkap dalam kesalahan yang sama.
Muiz kukenali ketika cuti panjang menanti keputusan peperiksaan SPM diumumkan. Di mana lagi kalau bukan di alam maya? Tiga bulan itu cukup untuk menyebabkan kami terus berhubungan, terima kasih kepada teknologi yang membenarkan aku menghubunginya pada hampir setiap masa senggang yang kumiliki. Pesanan ringkas. Ketika itu aku masih mampu mentakrifkan bahawa hubungan itu platonik semata.
Entah apa yang menyebabkan hati tertarik, aku sendiri tidak pasti. Muiz tidak cukup kriteria untuk menjadi lelaki pujaanku jika kufikir secara rasional. Mungkin kerana kami boleh bercerita tentang banyak perkara, hati menjadi lebih dekat. Mungkin itu satu sebabnya, tetapi yang aku pasti, syaitan memang berada di mana-mana.
Muiz sendiri menyenangiku, kerana katanya, aku ini melegakan. Dia lelaki yang begitu banyak kekalutan mendekatinya, dan aku yang barangkali lebih matang mudah sekali memberi idea. Dan Muiz juga, pada usia 18 tahun, dan lima tahun sebelumnya dihabiskan di sekolah tanpa perempuan, tentulah mudah sekali bersahabat dengan yang berlainan jantina.
Aku terlontar di matrikulasi, Muiz juga begitu. Tetapi aku dalam tidak keruan sepanjang dua bulan itu, kerana harapanku yang sejak dulu kusimpan mahu belajar di United Kingdom belum kupasti tercapai atau tidak.Surat tawaran belum diterima, meski temuduga telah kuhadiri. Dalam kerisauan itu aku cuba menyedapkan hati, memberitahu Muiz bahawa aku sudah mengubah fikiran, biar tawaran diterima aku tidak akan pergi. Tetap di matrikulasi. Muiz menyambut senang, kerana kutahu, keputusan itu tidak akan melebarkan jurang antara kami. Akademik.
Tetapi seperti kataku, itu hanyalah untuk menyedapkan hati. Saat surat tawaran JPA tiba di tanganku hati tiada sedikit pun ragu. Ini destinasiku. Dan Muiz, Muiz cuma menyebut kembali kata-kataku dulu dalam melankoli. Maaf, kataku. Aku berubah fikiran.
Dua tahun di kolej persediaan, aku masih dan bertambah dekat dengan Muiz. Masih sebulan sekali berbual di talian, hampir setiap masa bertukar pesanan ringkas. Aku sendiri sudah tidak tahu bagaimana untuk mendefinisikan perhubungan itu. Kami bukan sekadar kawan. Tetapi kami bukan juga pasangan kekasih. Muiz, pada bila-bila masa sahaja kubenarkan untuk berbicara tentang mana-mana gadis yang diminatinya, walaupun aku sedar ada cemburu di hati. Muiz juga begitu. Tenang sahaja dia mendengar aku berceloteh tentang mana-mana lelaki yang aku senangi, tetapi kadang-kadang dia sudah tidak sanggup kalau aku terlalu memuji. Berkisah tentang keluarga masing-masing. Malah luka paling dalam. Mungkin istilah teman tapi mesra itu paling tepat buat kami.
Dan ramai teman yang mengenali kami berdua bertanya, kenapa tidak 'declare' secara rasmi bahawa kamu berdua pasangan kekasih? Bukan tidak pernah kami menyebut tentang perkara ini, tapi kusedar satu, Muiz terkadang berasa rendah diri denganku. Aku ingat ketika dia bertanya, kalau engkau kuajak ber'couple', kau mahukah? Kukatakan tidak. Dan kerana itu kami diamkan sahaja hal ini. Dan dia juga pernah menyebut, aku lebih layak untuk bersama lelaki yang lebih baik daripadanya.
Aku sendiri, masih memegang pada konsep setia yang kupegang sejak sekolah lagi, setia pada lelaki yang memang ditakdirkan untukku, tidak sama sekali 'settle on someone just because he is available'.Jadi aku meletakkan syarat begini: Katakan 'Tidak' pada mana-mana sahaja lelaki jika akal dan hatiku tidak bersetuju bahawa dia adalah yang terbaik. Hatiku mempersetujui bahawa Muiz adalah lelaki baik, tetapi penilaian akalku mengatakan sebaliknya. Dan kerana ketidaksefahaman itulah aku bertahan sepanjang dua tahun. Bertahan untuk tidak pergi lebih jauh dari sekadar teman yang mesra.
Entah mengapa hatiku bisa bersetuju aku sendiri terasa aneh. Barangkali ketika itu hatiku sudah semakin kotor. Ya, hati yang bersih akan menunjukkan jalan yang betul. Sangat-sangat aku sedari persahabatanku itu sudah bersalut dosa yang tidak sedikit. Hati sering tidak tenang. Solat tidak khusyuk mengenangkan pesanan ringkas yang belum terbalas, kata-kata manis yang diterima. Aku menyedari itu, dan pada saat-saat hati punya kekuatan untuk menjauhkan diri dari kemaksiatan, aku termakan pujukan Muiz yang bijak menunjukkan kesedihan. Aku tidak menyalahkannya. Dia tidak faham. Tidak cukup matang untuk memahami bahawa untuk menjaga hati agar suci dan tenang, lebih afdhal jika diputuskan sahaja hubungan. Bagaimana mungkin dia faham jika manusia di sekelilingnya sedang hanyut dalam percintaan? Aku tidak menyalahkan lelaki senaif itu kerana tidak dapat membezakan yang mana benar yang mana salah, kerana aku sendiri sudah tidak mampu menarik diriku jauh daripadanya. Aku menyalahkan diriku kerana atas segala pengetahuan yang kuada aku masih menuruti kehendak nafsu.
Aku ingat sekali ketika menerima hadiah daripadanya. Di kolej ketika itu. Muiz merancang teliti kejutan itu, bekerjasama dengan sahabat semejaku di kelas. Kotak besar berbalut rapi yang dipos dari jauh, saat kubuka terlihat anak patung beruang, di baju merah jambunya tertulis 'Best Friend'. Ya, Muiz sangat-sangat menghargaiku sebagai seorang sahabat, aku tahu itu.Dan anak patung beruang rona coklat muda itu, tanda ingatannya kepadaku, kerana katanya aku adalah perempuan yang pandai menjaga diri.Betapa ironi! Teringat kerisauan Muiz kerana pesanan ringkasnya tidak terbalas setelah tiga jam dihantar, kerisauan yang disuarakan kepada sahabatku yang lain.Teringat sifat ambil beratnya ketika aku pening-demam. Aduhai, mengakulah bahawa aku hanya perempuan lemah yang mudah sekali terharu. Terima kasih kepada nafsu yang tidak tertunduk, yang tidak terasuh.
Dalam jangkamasa perkenalanku itu, aku menemuinya sekali, sesuatu yang kukira akan kukesali sepanjang hayat. Betapa jauh aku pergi melanggar prinsipku sendiri kerana perasaan yang tidak tertahan. Memang itu cuma pertemuan biasa pada perkiraan muda-mudi sekarang, tetapi apakah beza aku dengan perempuan lain? Entah ke mana kulontar jauh hadis yang kuhafal rapi, tidak akan berduaan seorang lelaki dan perempuan melainkan yang ketiganya adalah syaitan?
Ya Allah! Jauhilah kami dari hasutan syaitan yang durjana itu!
Dua tahun berakhir dengan cepat. Malam terakhir di Malaysia menyaksikan aku mengalirkan air mata kerana perpisahan itu. Dia sendiri, dalam kesedihannya meminta aku tidak melupakannya. Tidak sama sekali, kataku. Setelah lebih dua tahun, mana mungkin aku melupakannya. Dan kali terakhir, sebelum menaiki kapal terbang meninggalkan Malaysia buat kali pertama aku menelefonnya. Aku sudah tidak menangis, barangkali sudah dipenuhi keterujaan untuk menghadapi kehidupan baru, tetapi Muiz, dia lebih banyak berdiam.
Bumi United Kingdom menyambutku, membawa bukan satu kejutan dan perubahan ke dalam diri. Dan jika sebelumnya kurasakan hidup pasti akan berbeza tanpa Muiz, tidak, hidupku kembali normal tanpanya.
Dan Muiz, dua minggu selepas pemergianku, ketika kuusik mengenai statusnya di Friendster yang berubah dari 'Single' kepada 'It's Complicated', mengakui bahawa dia sudah menjalinkan hubungan secara rasmi dengan gadis yang diminatinya. Dan dia, hanya menanti untuk memberitahuku perkara itu sebelum mengumumkan bahawa dia kini 'In a Relationship'. Oh terima kasih, kataku. Sedang hati menangis atas sebab yang kusendiri tak pasti. Aku tidak mahu terus bersamanya, tetapi aku tidak juga sanggup untuk melepaskan. Apa masalahnya dengan aku ini? Dan Muiz, memohon aku tetap menjadi penasihatnya, kerana padanya aku masih sahabat baik yang tidak akan terganti. Maaf, aku katakan dalam emosi yang tak keruan, aku tidak betah melayan masalah engkau dan kekasih. Aku punya masalah sendiri. Dan aku menangis tanpa kufahami mengapa.
complicated??
Tetapi lukanya tidak dalam. Kebenaran yang kutemui meyakinkan aku bahawa semua sudah tertulis. Aku bertemu Muiz kerana dia mengajar aku betapa sukarnya hidup andai hati tidak tenang. Dan seperti kata sahabatku, seseorang itu dihantar ke kehidupan kita untuk satu-satu tujuan, dan setelah habis peranannya dia akan pergi. Mengenali Muiz mengajarkan aku tentang diri, bahawa aku sebenarnya masih lemah untuk melawan nafsu. Dan aku sangat meyakini bahawa Tuhan membawaku ke sini supaya aku lebih dekat denganNya, setelah dua tahun aku membiarkan diri terlalai. Tuhan membawaku ke sini untuk aku kembali ke jalan perjuangan yang lama aku tinggalkan.
Dan jalan perjuangan itu, tidak mungkin aku tinggalkan sekali lagi hanya kerana seorang lelaki.
sumber: iLuvislam.com